Monday

Kekejaman Seksual



Baru-baru ini, negara kita dikejutkan lagi dengan satu kes jenayah kejam yang menjadikan kanak-kanak perempuan sebagai mangsa. Seorang kanak-kanak perempuan yang masih kecil diculik, diliwat dan dirogol sebelum dibunuh.

Siapa yang bersalah di dalam kejadian rogol dan liwat itu. Lelaki-lelaki perogol itu atau kanak-kanak perempuan tersebut ?

Peliknya, setiap kali survey (yang tidak rasmi) dilakukan secara rambang berkenaan siapakah yang patut dipersalahkan di dalam kejadian rogol, samaada si perogol (lelaki) ataupun mangsa rogol (perempuan), terdapat ramai responden lelaki yang mengatakan si mangsa rogol (perempuan) yang bersalah dan patut dipersalahkan apabila dirogol.

Maknanya, ramai responden lelaki yang menyalahkan MANGSA (perempuan) berbanding PEMANGSA (lelaki).

Antara alasan paling popular yang dilontarkan pihak lelaki bagi menyalahkan si mangsa;

“….berpakaian seksi…berpakaian menjolok mata…”

Persoalannya, adakah kanak-kanak perempuan 8 tahun seksi ? Tubuh badan yang belum baligh dan belum lagi matang. Adakah si mangsa kecil itu menjolok mata ? Maka dengan sebab itu dia diliwat dan dirogol ?

Ooh..lantas segelintir pihak lelaki menyuarakan lagi;

“….pasal ramai perempuan di luar sana yang tak tutup aurat….berpakaian seksi…menjolok mata…merangsang nafsu lelaki…”

Maknanya, disebabkan keseksian Britney Spears dan Pamela Anderson, maka kanak-kanak perempuan yang masih mentah itu diliwat dan dirogol ?

Orang yang seronok meliwat dan merogol tidak sedikit pun disebut-sebutkan, sebaliknya si mangsa yang trauma dan menderita akibat diliwat dan dirogol pula yang diperhangat-hangatkan. Adakah ini satu pandangan yang bertanggungjawab sebagai seorang manusia ?

Ini menggambarkan, seolah-olah terdapat di luar sana golongan lelaki yang ego, yang tidak mahu mahu mengaku kesalahan yang dilakukan kaum mereka sendiri.

Adalah hakikat.Tidak ada mana-mana perempuan di dunia ini yang rela dirogol dan diliwat. Tiada siapa yang suka dipaksa dan dikasari.

“Liwat dan rogol adalah hubungan seks yang dilakukan secara paksaan yang juga melibatkan keganasan serta seksaan fizikal dan emosi

Persoalannya, siapa yang memaksa dan siapa pula yang dipaksa ? Siapa yang menggunakan kekerasan dan siapa pula yang dikenakan kekerasan ? Siapa yang menyeksa dan siapa pula yang diseksa ?

Terangsang nafsu…Siapa yang wajib mengukuhkan iman ?

Nafsu sendiri…Siapa yang layak mengawal ?

Adakah orang lain yang harus mengawal nafsu kita sendiri ?

Oleh itu, layakkah pihak yang dipaksa, dikerasi dan diseksa dipersalahkan ?