Anda sedang berjalan pulang ke kolej bersama tiga rakan karib anda dan dalam perjalanan itu anda terserempak dengan seorang gadis yang sedang berjalan di hadapan dengan arah tuju yang sama.
Anda melihat gadis muda itu dengan rasa yang semacam. Hati anda seolah berdegup rancak tatkala melihat gadis itu seadanya. Itu suatu petanda yang anda sedang menyukai gadis itu.
Dia tidak perasan anda. Anda terus memandangnya.
Dari pandangan belakang, pinggulnya menyerlah. Pada anda bentuk tubuhnya amat menarik. Memang citarasa anda. Kulitnya putih. Tidak kurus dan tidak pula gemuk, bentuk tubuhnya agak mengghairahkan jika lama ditenung. Lebih-lebih lagi pada bahagian dadanya.
Mungkin tiga rakan anda juga perasan akan kelebihan gadis itu. Mungkin kerana hati mereka juga terdetik sebegitu.
Namun, anda tidak sesekali menghebah-hebahkan perikeindahan gadis itu walau satu ciri pun. Apatah lagi menjadikan ciri kewanitaan gadis itu sebagai topik hangat dalam perbualan sesama rakan anda ataupun bahan gurauan lucah. Anda tidak meriuh-riuhkannya. Cukuplah diri anda saja yang sedar akan cetusan perasaan dan tarikan nafsu tatkala merenung gadis itu. Anda hanya hanyut di fikiran semata.
Tiba-tiba, gadis itu menoleh ke belakang. Pada saat yang sama juga, anda turut sama menarik semula renungan, mengalihkan anak mata anda dari tubuh gadis itu. Kerana, di dalam hati anda tercalit sedikit rasa hormat padanya. Anda tidak mahu gadis itu merasakan dirinya tidak selamat dan tidak selesa direnung tajam oleh seorang lelaki.
Sudah semestinya gadis itu tidak mahu dilabel sebagai objek seks anda.
Kemudian, salah seorang rakan anda mengajuk “Piwiiittt..” pada gadis itu dan menyambung dengan ayat yang berbunyi “Fuiyoo...besar siot dia punye....”. Dua rakan anda yang lain tersenyum monyet, tersengih dan ketawa liar dalam godaan nafsu. Mereka membuat lawak lucah mengenai gadis itu.
Namun, anda tidak ketawa terkahak-kahak. Anda hanya sekadar tersengih kecil sahaja.
Kerana di dalam hati anda tercalit sedikit rasa hormat pada gadis itu. Malah anda pula mengeluarkan secebis nasihat yang berbunyi “ Hei...tak elok la buat macam tu....”
Anda tertarik pada gadis itu seperti rakan-rakan anda yang lain, namun anda tidak melakukan tindakan yang boleh membuatkannya merasa tidak selesa dan tidak selamat. Anda tidak mahu menjadi lelaki yang ‘gila perempuan’, yang mudah rambang mata melihat gadis-gadis lawa dan mahu memiliki semua perempuan cantik yang dilihat.
Jikalau anda benar-benar mahu serius dengan gadis itu, anda akan cuba mengenali dan mendampinginya secara terhormat dan bermoral.
Monday
jangan jadi monyet
Dikemukakan oleh Cik Murni at 14:14